Ahad, 14 Julai 2019 | 3:26pm
Operasi mengesan Roviezal diteruskan hari ini. - Ihsan SAR
Operasi mengesan Roviezal diteruskan hari ini. - Ihsan SAR

Pencarian mangsa banjir Gua Rusa diperluas

MIRI: Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) pemandu pelancong yang hilang selepas dihanyutkan arus deras di dalam Gua Rusa di Taman Negara Mulu, kelmarin diperluaskan hari ini dan turut disertai penduduk kampung serta ahli keluarga mangsa.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata seramai 35 penduduk kampung terbabit dalam gerakan SAR yang disambung semula pada jam 8.30 pagi tadi.

Beliau berkata, pencarian itu dibahagikan kepada lima kumpulan membabitkan 12 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 20 kakitangan dari Taman Negara Mulu dan polis.

“Cuaca agak baik hari ini membolehkan dua pasukan menggunakan kaedah pencarian di permukaan air di sepanjang sungai di dalam gua berkenaan.

“Tiga pasukan lagi memberikan tumpuan pencarian di sungai di luar gua itu iaitu Sungai Gua dan Sungai Paku serta parit dalam kawasan operasi,” katanya.

Gerakan SAR dihentikan pada jam 3.22 petang semalam akibat hujan lebat di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO itu kerana dikhuatiri banjir kilat akan melanda semula.

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, pemandu pelancong, Roviezal Robin, 20, dan seorang lelaki dari Belanda hilang selepas banjir kilat melanda Gua Rusa ketika mereka sedang menjelajah bersama lapan yang lain.

Mayat pelancong dari Belanda itu, Peter Hans Hovenkamp, 66, ditemui tersangkut di pintu gua itu pada jam 6.40 pagi, semalam.

Berita Harian X