Sabtu, 13 Julai 2019 | 11:04am
PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi menahan seorang lelaki dan dua wanita disyaki cuba menyeludup sayur serta buah-buahan dianggar bernilai RM920 menggunakan bot dari Thailand ke negara ini, semalam. - Foto ihsan PPM

PPM tahan 3 individu disyaki cuba seludup sayur, buah

LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1 Langkawi menahan seorang lelaki dan dua wanita disyaki cuba menyeludup sayur serta buah-buahan dianggar bernilai RM920 menggunakan bot dari Thailand ke negara ini, semalam.

Pegawai Pemerintah PPM Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid, berkata tindakan tiga suspek berusia antara 48 hingga 63 tahun itu dikesan anggotanya di perairan Tanjung Dendang, di sini, pada jam 11.30 pagi.

“Bot peronda RH53 yang menyertai Ops Gelora menahan sebuah bot gentian kaca dinaiki tiga individu membabitkan seorang wanita warga tempatan, selain masing-masing seorang lelaki dan wanita warga Thailand.

ANTARA sayur dan buah-buahan yang dirampas PPM selepas menahan tiga suspek di perairan Tanjung Dendang. - Foto ihsan PPM
ANTARA sayur dan buah-buahan yang dirampas PPM selepas menahan tiga suspek di perairan Tanjung Dendang. - Foto ihsan PPM

“Pemeriksaan mendapati bot terbabit turut membawa 210 kilogram (kg) pucuk sayur manis, rambutan (30kg), manggis (30kg) dan dua biji durian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rohizan berkata, kesemua sayur dan buah-buahan itu didapati cuba dibawa masuk ke negara ini dengan cara tidak diwartakan.

“Nilai rampasan keseluruhan, termasuk bot gentian kaca, dianggarkan bernilai RM12,920.

“Barangan rampasan dan suspek dibawa ke Pangkalan PPM Wilayah 1 di Bukit Malut, di sini, sebelum diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Berita Harian X