Jumaat, 12 Julai 2019 | 8:24pm
SEORANG wanita maut manakala dua lelaki parah termasuk seorang remaja selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 31 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. NSTP/Ihsan Bomba
SEORANG wanita maut manakala dua lelaki parah termasuk seorang remaja selepas kereta dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki di Kilometer 31 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. NSTP/Ihsan Bomba

Wanita maut, 2 parah kemalangan lori tangki dan kereta

IPOH: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan kereta dan lori tangki muatan diesel di Kilometer 31, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Kematian terbaru itu menjadi dua mangsa maut dalam kemalangan itu.

Terdahulu, bomba yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada jam 2.51 petang, memaklumkan seorang wanita maut di lokasi kejadian manakala dua lelaki parah.

Mangsa yang maut di lokasi kejadian adalah Nur Al Ashiqin Abdul Kadir, 38, manakala adik iparnya, Muhamad Ashraf Shamsor, 19, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di wad kecemasan HRPB.

Difahamkan seorang pemandu kereta berusia 27 tahun yang juga suami kepada Nur Al Ashiqin, kini kritikal dan dirawat di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pihaknya mendapat maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 3.10 petang, dan siasatan awal mendapati lori berkenaan dari arah Cameron Highlands menuju ke Ipoh, manakala kereta Perodua Viva dari arah bertentangan.

“Lokasi kejadian adalah di Jalan Keramat Pulai dan siasatan awal mendapati sebaik sampai di lokasi kemalangan, kereta berkenaan dipercayai cuba memotong sebuah kereta lain namun hilang kawalan lalu terlanggar pada bahagian hadapan lori tangki berkenaan.

“Penumpang hadapan, wanita berusia 38 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adik iparnya berusia 19 tahun meninggal dunia di wad kecemasan.

“Suami mangsa berusia 27 tahun yang memandu kereta parah dan dirawat di hospital sama, manakala pemandu lori berusia 43 tahun tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Ali berkata, tiga sekeluarga itu berasal dari Raub, Pahang, dan bedah siasat mayat kedua-dua mangsa dijalankan di Jabatan Forensik HRPB malam ini sebelum dituntut ahli keluarga.

“Tiada tangkapan dilakukan dan siasatan lanjut dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Kenderaan yang terbabit ditahan bagi pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM),” katanya.

Berita Harian X