Khamis, 11 Julai 2019 | 4:51pm
KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azeem Nazuri menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Stor Simpanan KPDNHEP WPKL di Jalan Segambut, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KETUA Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Azeem Nazuri menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media di Stor Simpanan KPDNHEP WPKL di Jalan Segambut, hari ini. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Sindiket bekal dakwat mesin cetak, katrij tiruan tumpas

KUALA LUMPUR: Satu sindiket membekal dakwat mesin pencetak dan katrij tiruan ditumpaskan susulan serbuan di lima premis sekitar ibu negara, semalam.

Dalam serbuan itu, sebanyak 739 dakwat mesin pencetak dan katrij tiruan dianggarkan bernilai RM78,674 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Azeem Nazuri, berkata dalam serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu, pihaknya turut merampas satu set komputer serta beberapa mesin pencetak pelbagai jenama.

Katanya, kelima-lima premis terbabit dimiliki sindiket yang sama dan aktif sejak setahun lalu.

“Modus operandi mereka adalah membeli bekas dakwat mesin pencetak tulen kitar semula sebelum mengisikan dakwat tiruan ke dalam bekas berkenaan.

“Selain itu, sindiket berkenaan mengaburi mata pengguna dengan meletakkan pelekat jenama tertentu serta membungkus dakwat tiruan ke dalam bekas seakan-akan sama dengan dakwat tulen.

“Hasil siasatan mendapati sindiket itu beroperasi di Kampung Kerdas, Sungai Besi, Taman Bukit Teratai, Taman Maluri dan Taman Komersial Pandan Indah,” katanya pada sidang media di Stor Simpanan KPDNHEP WPKL di Jalan Segambut, di sini hari ini.

Azeem berkata, siasatan lanjut mendapati dakwat mesin pencetak tiruan serta katrij itu dijual dengan harga RM100 hingga RM250 seunit.

“Ada sesetengah pelanggan membeli barangan tiruan kerana harga jauh lebih murah berbanding yang tulen.

“Kita sedang mengambil keterangan lima lelaki dan seorang wanita berusia 30 hingga 35 tahun dipercayai pemilik serta pekerja premis.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.

Berita Harian X