Rabu, 10 Julai 2019 | 11:16pm

Polis tahan warga emas disyaki cabul kanak-kanak 12 tahun

SEREMBAN: Polis menahan seorang warga emas, semalam, disyaki melakukan gangguan seksual dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun susulan tular video insiden itu melalui laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Wan Rukman Wan Hassan, berkata pemandu lori berusia 65 tahun itu ditahan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gopeng, Perak, jam 9.20 malam.

Beliau berkata, polis berjaya mengesan bapa kepada dua anak itu yang dalam perjalanan ke Padang Besar, Perlis, untuk menghantar barang sebelum memintas kenderaan suspek dan menahannya.

“Suspek ditahan susulan laporan polis oleh ibu mangsa berusia 49 tahun selepas melihat video tular yang memaparkan anak perempuannya dipaksa melakukan kelucahan melampau oleh suspek di dalam sebuah kereta.

“Suspek yang baru dikenali keluarga mangsa sejak beberapa bulan lalu dipercayai memperdaya kanak-kanak itu dengan mengajak keluar membeli alat tulis serta makanan ketika keluarga mangsa tiada di rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Rukman berkata, kejadian dipercayai berlaku sebanyak tiga kali dengan kali terakhir pada Jun lalu apabila suspek membawa mangsa ke bandar dan didakwa melakukan perbuatan itu di dalam kereta di kawasan parkir.

Beliau berkata, berdasarkan hasil siasatan, suspek dipercayai merakam sendiri video perbuatannya itu terhadap mangsa sebelum ia menjadi tular.

“Suspek kini direman enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

“Kita turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja dan dua telefon bimbit milik suspek serta satu telefon bimbit milik mangsa,” katanya.

Beliau berkata, berikutan penularan video berdurasi tiga minit 10 saat itu, polis menerima 17 laporan daripada orang awam di beberapa negeri yang tidak berpuas hati terhadap perbuatan suspek.

Sementara itu, ditanya mengenai rakaman video sebuah kereta dibakar yang dikatakan milik suspek, Wan Rukman menafikan kejadian berkenaan.

Berita Harian X