Rabu, 10 Julai 2019 | 6:20pm

Tempoh reman suami tikam isteri disambung

MELAKA: Tempoh reman lelaki yang menikam hingga mati isterinya dalam kejadian 3 Julai lalu disambung tujuh hari, bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata perintah sambung reman itu dipohon bagi membantu siasatan polis.

Menurutnya, lelaki berusia 56 tahun itu kini sudah keluar dari zon merah Hospital Melaka dan dipindahkan ke wad psikiatrik di bawah pemantauan doktor.

“Setakat ini tiada apa-apa lagi keputusan daripada doktor (mengenai sakit mental) yang memantaunya di wad psikiatrik Hospital Melaka.

“Tempoh reman pertama berakhir hari ini dan kita mohon reman dilanjutkan kebiasaannya selama tujuh hari lagi untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian di Taman Seri Duyong, Fasa 2 di sini kira-kira jam 10 pagi itu, Samnah Mohamed, 55, maut dengan empat kesan tikaman di badan.

Suaminya cedera dengan dua kesan tikaman apabila menikam dirinya selepas itu, namun dibawa ke Hospital Melaka dan menerima rawatan di zon merah.

Semakan awal polis mendapati, suspek yang tinggal di rumah bersama isterinya itu mempunyai dua rekod jenayah berkaitan kes curi dan positif dadah syabu Jun lalu.

Suspek turut mempunyai kad rawatan psikiatrik di Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X