Ahad, 7 Julai 2019 | 10:22pm
MANGSA banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Krubong. - Foto Rasul Azli Samad
MANGSA banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Krubong. - Foto Rasul Azli Samad

Mangsa banjir terus meningkat

MELAKA: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah negeri ini terus meningkat kepada 1,149 malam ini berbanding 745 orang petang tadi.

Pertambahan sebanyak 404 mangsa itu itu menyaksikan kesemua mereka kini di tempatkan di 11 PPS selepas satu PPS di Balai Raya Taman Seri Bayu ditutup pada jam 12 tengah hari tadi.

Semua 10 mangsa banjir daripada dua keluarga di balai raya terbabit dipindahkan ke PPS berhampiran iaitu di Masjid Al-Rasyidin.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali dalam kenyataannya malam ini berkata, setakat jam 8 malam tadi, 1,037 mangsa dari 235 keluarga di daerah Alor Gajah terjejas.

“Semua mereka ditempatkan di 10 PPS dan antara kawasan terjejas adalah di Kampung Gadek, Pegoh, Paya Datuk, Bukit Balai, Bukit Tambun, Taman Seri Bayu 1 dan 2, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Sungai Tuang, Masjid Tanah.

“Bagi daerah Melaka Tengah, seramai 112 daripada 25 keluarga yang terjejas adalah di Taman Krubong Jaya, Kampung Lanjut Manis, Kampung Tanah Merah, Kampung Sungai Badau dan Kampung Tampoi terjejas.

“Semua mereka ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Krubong,” katanya.

Berita Harian X