Ahad, 7 Julai 2019 | 2:58pm

Mangsa banjir di Alor Gajah meningkat kepada 1,096 orang

ALOR GAJAH: Jumlah mangsa banjir di dua daerah negeri ini meningkat kepada 1,096 orang berbanding 745 orang sebelum ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali, dalam kenyataannya hari ini, berkata setakat jam 5 petang tadi, mangsa yang dipindahkan meningkat sebanyak 351 orang.

"Bagaimanapun, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka masih sama iaitu 10 di daerah Alor Gajah dan satu di Melaka Tengah.

"Setakat jam 5 petang tadi, Alor Gajah merekodkan 1,201 mangsa daripada 229 keluarga manakala Melaka Tengah 75 mangsa daripada 18 keluarga," katanya.

Seramai 560 mangsa banjir membabitkan 103 keluarga di daerah Alor Gajah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir sejak awal pagi tadi.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Mohammad Fairul Asikin Kadir, berkata mangsa yang terjejas adalah penduduk dari 10 kampung dan satu taman perumahan.

“PPS yang dibuka setakat ini ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan, Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam dan Masjid Ar-Rasyidin.

“PPS lain adalah di lapan balai raya di Taman Seri Bayu 1, Panchor, Kampung Pegoh, Bukit Tambun, Kampung Beringin, Gadek, Bukit Balai dan Sungai Tuang yang dibuka sejak awal pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, 114 anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi menyelamat dan membantu mangsa banjir.

Antaranya termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Kesihatan.

EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab, pula berkata kerajaan negeri prihatin terhadap keperluan penduduk yang memohon rumah peduli rakyat atau projek perumahan rakyat (PPR) bagi mengelak mereka terus menjadi mangsa banjir.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Durian Tunggal, bagaimanapun berharap penduduk dapat memberi sedikit masa sebelum hasrat mereka dapat dizahirkan.

"Memang, kita tahu mereka (mangsa banjir) kalau tak pindah, tiap-tiap tahun akan berdepan masalah banjir.

"Kita kena lihat pada kekosongan unit kediaman (PPR) yang diperuntukkan kerana semua PPR sedia ada dah penuh. Jadi, kita harap penduduk yang memohon dapat bersabar," katanya ketika ditemui di Kampung Beringin di sini, hari ini.

Terdahulu NSTP, hari ini melaporkan harapan beberapa penduduk di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, di sini supaya kerajaan negeri dapat mempercepatkan proses pemindahan mereka ke rumah PPR yang sudah lama tertangguh.

Mereka berharap impian itu dapat ditunaikan, sekali gus menamatkan penderitaan berdepan banjir setiap tahun apabila rumah didiami di tanah rizab kereta api itu ditenggelami air antara 1.5 hingga tiga meter setiap kali hujan lebat.

Keadaan rumah yang ditenggelami banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Rasul Azli Samad
Keadaan rumah yang ditenggelami banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Rasul Azli Samad
Penduduk mengangkat barang untuk dialihkan di tempat yang selamat ketika tinjauan rumah yang ditenggelami banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Rasul Azli Samad

Keadaan jalan yang ditenggelami banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Rasul Azli Samad
Keadaan jalan yang ditenggelami banjir di kawasan Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal. - NSTP/Rasul Azli Samad
Berita Harian X