Jumaat, 5 Julai 2019 | 10:26am
Hamadi maut selepas bertembung sebuah lori di Jalan Mata Ayer di Arau, malam tadi. - Ihsan pembaca
Hamadi maut selepas bertembung sebuah lori di Jalan Mata Ayer di Arau, malam tadi. - Ihsan pembaca

Penunggang motosikal maut melawan arus

ARAU: Seorang penunggang motosikal maut, manakala isterinya parah selepas motosikal yang ditunggang mereka secara melawan arus bertembung sebuah lori di Jalan Mata Ayer di sini, malam tadi.

Dalam kejadian pada jam 11.15 malam, mangsa, Hamadi Yaakob, 43, maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala isterinya, Marliyana Kema, 36, patah kaki kanan dan masih dirawat di Unit Kecemasan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof, berkata kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan penunggang motosikal Honda EX5 yang melawan arus.

“Mangsa dikatakan masuk ke arah laluan bertentangan dan bertembung sebuah lori menyebabkan dia dan isterinya terjatuh ke atas jalan raya.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dan mayatnya dihantar ke bilik mayat HTF untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X