Khamis, 4 Julai 2019 | 1:02am
Keadaan sekolah yang rosak teruk selepas dilanda angin kencang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Hilir, Kuching. - Foto ihsan APM
Keadaan sekolah yang rosak teruk selepas dilanda angin kencang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang Hilir, Kuching. - Foto ihsan APM

20,000 penduduk terjejas bekalan elektrik terputus akibat ribut

KUCHING: Hujan lebat disusuli ribut menyebabkan lebih 20,000 penduduk di tiga daerah kecil dalam bahagian Mukah, bergelap sejak petang tadi.

Sumber berkata, ia berikutan tujuh tiang elektrik di Senau, Oya, tumbang selepas dibadai ribut berkenaan pada kira-kira jam 4 petang.

Beliau berkata, tiga kawasan utama yang terjejas adalah Oya, Igan dan Matu.

Sementara itu, jurucakap Sarawak Energy Berhad (SEB) yang mengesahkan kejadian itu berkata, kerja-kerja sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan elektrik di kawasan terjejas.

Beliau berkata, bekalan elektrik di beberapa kawasan penempatan penduduk di tiga daerah kecil itu sudah pulih secara berperingkat sejak jam 7 malam.

“Sehingga jam 10 malam ini (tadi), hanya kawasan ladang kelapa sawit di Igan yang masih terjejas,” katanya di sini.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya menghubungi talian hotline SEB 1300 88 3111 jika berhadapan gangguan bekalan elektrik, bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk memulihkan bekalan.

Berita Harian X