Sabtu, 29 Jun 2019 | 2:24pm
SEORANG kanak-kanak perempuan tempatan berusia 11 tahun digigit anjing peliharaan jirannya dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Makmur, Endau, Mersing. - Foto ihsan pembaca
SEORANG kanak-kanak perempuan tempatan berusia 11 tahun digigit anjing peliharaan jirannya dalam kejadian di sebuah kediaman di Taman Makmur, Endau, Mersing. - Foto ihsan pembaca

Budak parah digigit anjing jiran

MERSING: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun parah akibat digigit seekor anjing Pitbull peliharaan jirannya di Taman Makmur, Endau, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku ketika mangsa bermain di kediaman jirannya itu.

“Kejadian itu dipercayai berlaku selepas tali rantai pengikat anjing berkenaan tercabut menyebabkan haiwan itu terlepas dan menyerang mangsa.

“Anjing baka campuran itu menggigit muka serta beberapa bahagian badan mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Cyril berkata, siasatan awal mendapati pemilik anjing tidak mempunyai sebarang permit atau lesen untuk memiliki anjing terbabit.

Katanya, kanak-kanak itu yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Rompin untuk rawatan dan kemudian dihantar ke hospital pakar untuk rawatan lanjut oleh keluarganya.

“Selain polis, Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga menyiasat kes ini dan anjing berkenaan sudah diambil untuk pemeriksaan lanjut termasuk sama ada mempunyai sebarang penyakit.

“Kita menyiasat kes ini mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan,” katanya.

Berita Harian X