Sabtu, 29 Jun 2019 | 12:50am
Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar membuat kerja-kerja semburan asap di kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza bagi mencegah penularan wabak Chikungunya. - Foto BERNAMA
Kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar membuat kerja-kerja semburan asap di kedai berhampiran pusat beli-belah City Plaza bagi mencegah penularan wabak Chikungunya. - Foto BERNAMA

Dua lagi kes chikungunya dikesan di Kota Setar

ALOR SETAR: Dua lagi kes chikungunya dicatatkan kelmarin menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini adalah sebanyak 37 individu yang disyaki mengidap penyakit berkenaan di daerah Kota Setar.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata dua kes berkenaan dicatatkan di deretan kedai berhampiran City Plaza.

Katanya, tiada pertambahan kes dilaporkan di Simpang Kuala menjadikan kumulatif kes terbabit kekal tujuh kes dan semua pesakit berada dalam keadaan stabil.

“Walaupun terdapat peningkatan kes dalam wabak ini, siasatan menunjukkan bahawa kesemua kes terdedah kepada jangkitan sebelum aktiviti kawalan dilaksanakan berdasarkan tarikh mula tanda dan gejala.

“Aktiviti kawalan vektor di Simpang Kuala yang bermula pada 25 Jun diteruskan sehingga 27 Jun.

“Setakat ini, sejumlah 97 premis diperiksa di sekitar Simpang Kuala dan sejumlah 12 kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, dengan nilai RM6,000 berkaitan pembiakan nyamuk Aedes kepada pemilik premis,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, orang ramai di sekitar kawasan terbabit dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera di pusat kesihatan sekiranya mengalami tanda-tanda demam, sakit sendi teruk dan ruam.

Berita Harian X