Isnin, 24 Jun 2019 | 6:21pm
Sharulnizam Sopian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas jam 10.49 malam membabitkan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Simpang Pulai - Lahat berhampiran SK Pengkalan Pegoh, di Ipoh, malam tadi. - Ihsan pembaca
Sharulnizam Sopian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas jam 10.49 malam membabitkan kenderaan pacuan empat roda di Jalan Simpang Pulai - Lahat berhampiran SK Pengkalan Pegoh, di Ipoh, malam tadi. - Ihsan pembaca

Lelaki maut motosikal rempuh kenderaan pacuan empat roda

IPOH: Seorang lelaki maut apabila motosikal ditunggang merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Simpang Pulai - Lahat berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Pegoh, di sini, malam tadi.

Sharulnizam Sopian, 21, yang menunggang motosikal Modenas Kriss, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dalam nahas jam 10.49 malam membabitkan kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Navara itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu Nissan Navara berusia 38 tahun dalam perjalanan dari arah Simpang Pulai ke Station 18, dipercayai memberhentikan kenderaannya di tengah jalan.

“Pemandu lelaki itu dipercayai memberhentikan kenderaan di tengah jalan untuk belok ke kanan, dan mangsa yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang pacuan empat roda berkenaan.

“Kawasan itu juga didapati ada garisan tengah berkembar. Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan bantuan kecemasan daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga untuk dikebumikan, manakala pemandu Nissan Navara pula dilaporkan tidak mengalami kecederaan.

Susulan itu, katanya, pemandu Nissan Navara terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan, sampel air kencing serta darah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

“Lelaki beralamat di Ladang Ayer Tawar, Manjung itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Ayer Tawar mendakwa dipukul orang ramai yang berada di kawasan kejadian sejurus kemalangan berlaku,” katanya.

Mohd Ali berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan kenderaan terbabit kemalangan itu ditahan bagi tujuan pemeriksaan PUSPAKOM.

Berita Harian X