Ahad, 23 Jun 2019 | 11:49pm
Juwariyah Sulaiman, 32, (kanan) isteri kepada Mokhamad Ngifni (gambar kecil) tidak dapat menahan kesedihan ketika di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof
Juwariyah Sulaiman, 32, (kanan) isteri kepada Mokhamad Ngifni (gambar kecil) tidak dapat menahan kesedihan ketika di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof
Anggota polis membawa masuk jenazah Mokhamad Ngifni di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof
Anggota polis membawa masuk jenazah Mokhamad Ngifni di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. - NSTP/Abdullah Yusof

Pensyarah INTIM maut rempuh tayar lori

IPOH: Pensyarah Tahfiz Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), Mokhamad Ngifni Abdul Basir, 33, maut dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Keramat Pulai, Simpang Pulai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian pada 12.42 tengah hari dan siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tiga motosikal dari arah Cameron Highlands ke Ipoh dan sebuah lori dari arah bertentangan.

“Sampai di lokasi kemalangan motosikal Yamaha 135LC ditunggang mangsa yang juga Imam Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh yang berada di hadapan sekali dipercayai hilang kawalan ketika mengambil selekoh dan menuruni bukit lalu jatuh.

“Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting ke kanan dan melanggar pada bahagian luar tayar belakang sebelah kanan lori yang dari arah bertentangan itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, dua lagi motosikal di belakang mangsa sempat mengelak daripada melanggar mangsa dan akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian.

“Saksi kejadian iaitu penunggang motosikal di belakang mangsa juga menyatakan mangsa hilang kawalan ketika mengambil selekoh dan menuruni bukit manakala lori berkenaan tidak masuk lorong bertentangan.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bedah siasat sudah dijalankan kira-kira 4.30 petang tadi di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya.

Berita Harian X