Ahad, 23 Jun 2019 | 10:40pm
Anggota APM mengangkat mangsa lemas di Pantai Tengah, Langkawi untuk dihantar ke Hospital Langkawi, hari ini. - Ihsan APM
Anggota APM mengangkat mangsa lemas di Pantai Tengah, Langkawi untuk dihantar ke Hospital Langkawi, hari ini. - Ihsan APM

Warga Arab lemas di Langkawi

LANGKAWI: Hajat tiga sekeluarga pelancong Arab menikmati keseronokan mandi di Pantai Tengah di sini, berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, Husain Musaad Alawfi, 51, hilang sebelum ditemui lemas berhampiran sebuah resort di kawasan pantai, tiga jam kemudian.

Terdahulu, dua mangsa dikenali Abdul Rahman, 13, dan Yasir Hussain Aloufi, 21, yang turut dilaporkan hilang ditemui selamat.

Pegawai Bencana Operasi dan Latihan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Azamshah Apearal, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada jam 3.18 petang.

“Sejurus itu, seorang pegawai dan sembilan anggota kami dikejarkan ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Laporan awal yang diterima menyatakan tiga lelaki sekeluarga juga pelancong Arab hilang dihanyutkan ombak ke tengah laut akibat cuaca buruk,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Azamshah berkata, mangsa pertama dan kedua ditemui masih sedar oleh pasukan penyelamat berhampiran tempat kejadian pada jam 3.22 petang.

“Seterusnya mangsa ketiga ditemui lemas pada jam 6 petang pada jarak kira-kira 30 meter dari kedudukan mangsa pertama dan kedua ditemui. Mayat mangsa diserahkan kepada polis,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian bendera merah dinaikkan berikutan arus laut deras dan cuaca buruk di sepanjang Pantai Tengah dan Pantai Chenang, sejak awal pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Langkawi untuk proses bedah siasat.

Berita Harian X