Khamis, 20 Jun 2019 | 10:58am
KECEDERAAN tangan kiri yang dialami mangsa, Mohamad Alif Aiman Anuar akibat ditembak seorang anggota polis trafik di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar. - Foto Sharul Hafiz Zam
KECEDERAAN tangan kiri yang dialami mangsa, Mohamad Alif Aiman Anuar akibat ditembak seorang anggota polis trafik di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar. - Foto Sharul Hafiz Zam

Lelaki cedera ditembak jalani pembedahan

ALOR SETAR: Seorang tukang paip yang cedera di lengan kiri akibat ditembak anggota polis trafik semalam, selamat menjalani pembedahan membuang peluru pagi tadi.

Ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49, berkata anaknya, Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, dibawa masuk ke Dewan Bedah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada jam 9.20 malam dan selesai menjalani pembedahan pada jam 5.40 pagi tadi.

Katanya, Mohamad Alif Aiman atau mesra dipanggil Alif dilihat berada dalam keadaan stabil dan sempat mengadu kepadanya sakit pada bahagian pembedahan serta merasa kebas jari.

“Saya beri anak semangat supaya dia tak fikir bukan-bukan, saya beritahu mungkin itu hanya kesan selepas pembedahan.

“Doktor pun maklumkan pada saya selepas lima hari, anak saya mungkin akan menjalani pembedahan lain, setakat ini doktor tidak menjahit sepenuhnya luka pada bahagian lengan kerana bimbang ada jangkitan kuman,” katanya ketika dihubungi.

Hashimah berkata, dia difahamkan salah satu urat nadi anaknya putus akibat terkena tembakan itu selain berlaku kerosakan pada beberapa bahagian saraf.

Katanya, doktor juga tidak dapat membuang serpihan tulang yang hancur kerana bimbang akan merosakkan saraf lain.

“Cuma doktor harap tidak berlaku jangkitan kuman kerana ia boleh menyebabkan risiko lain termasuklah kemungkinan anak saya menjadi cacat.

“Buat masa sekarang doktor sudah pesan orang luar tidak boleh melawatnya kecuali ibu bapa sahaja, jadi saya harap orang ramai faham dengan keadaan anak saya,” kata ibu kepada lima anak itu.

Semalam, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, seorang lelaki ditembak di lengan kiri oleh anggota polis trafik ketika cuba memberhentikan motosikal ditunggang mangsa dan rakannya di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar.

Ketika kejadian, Alif yang berasal dari Kuala Kedah sedang membonceng motosikal ditunggangi rakannya untuk ke tempat kerja mereka di Alor Mengkudu.

Berita Harian X