Isnin, 17 Jun 2019 | 4:17pm
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

33 kawasan hadapi gangguan bekalan air

KUALA LUMPUR : Sebanyak 33 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran insiden paip pecah yang berlaku di Taman Prima Sri Gombak, Gombak hari ini.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Abdul Raof Ahmad, berkata penutupan sementara bekalan air dilaksana bagi membolehkan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip dilakukan.

“Pihak kami menyasarkan kerja-kerja pembaikan disiapkan dalam tempoh 24 jam dan maklumat serta status terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bantuan lori tangki air akan digerakkan dan segala usaha sedang diambil bagi meminimumkan impak gangguan bekalan kepada pelanggan terjejas.

Katanya, antara kawasan terjejas termasuk Astana Gemilang, Kg Sri Gombak Indah, Taman Harmonis, Batu 3 hingga Batu 5 Jalan Gombak, Kampung Tengah Gombak, Taman Ibu Kota, Batu Caves Centre Point, Perusahaan Ringan, Taman Indah Gemilang , Bukit Lela, Pgn Batu Caves, Taman Pewira Gombak, Desa Minang, Prima Sri Gombak dan Taman Sahabat.

Turut terjejas, Kg Changkat, Simpang 3, Tmn Setapak, Kg Kerdas, Taman Berlian, Taman Setapak Permai, Kampung Kuantan, Taman Bolton, Taman Setia Gombak, Kampung Lee Kong Chian, Taman Gemilang, Taman Sri Gombak, Kampung Melayu Sri Gombak, Taman Gombak Jaya, Taman Suria Setapak, Kampung Sungai Mulia, Taman Gombak Setia serta Taman Teratai Mewah.

Bagi mengetahui perkembangan gangguan, katanya boleh rujuk aplikasi telefon bimbit Air Selangor dan laman sesawang www.syabas.com.my untuk maklumat dan status terkini.

Berita Harian X