Jumaat, 14 Jun 2019 | 5:20pm

ATM siasat aksi 'tentera' melampau

KUALA LUMPUR: Siasatan terperinci sedang dilakukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengenal lelaki yang melakukan aksi lucah dengan memakai seragam tentera seperti tersebar di media sosial.

Bahagian Hal Ehwal Awam, Markas ATM dalam satu kenyataan, berkata pihaknya maklum mengenai laporan polis dibuat bekas anggota tentera berhubung perkara itu dan sedang menjalankan siasatan mengenainya.

“ATM tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku anggota yang boleh memudaratkan nama baik perkhidmatan.

“Tindakan sewajarnya akan diambil terhadap anggota sekiranya terbukti bersalah,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor dilaporkan berkata, polis menjalankan siasatan lanjut berhubung penyebaran video berkenaan selepas menerima laporan daripada seorang pesara tentera berusia 52 tahun.

Katanya, polis juga masih mengesan lokasi suspek yang merakam video itu.

Video berdurasi lebih empat minit itu dikesan dihantar dalam kumpulan WhatsApp pesara tentera jam 11 malam kelmarin.

Difahamkan, rakaman video itu menunjukkan seorang lelaki dengan seragam tentera menanggalkan pakaiannya sambil melakukan aksi lucah melampau.

Pesara tentera itu yang juga ahli dalam kumpulan WhatsApp itu kemudian membuat laporan polis berhubung rakaman video berkenaan.

Berita Harian X