Jumaat, 14 Jun 2019 | 3:51pm

Abang cuba tembak adik dengan senapang angin

KUALA TERENGGANU: Berikutan tidak puas hati dituduh mencuri wang RM100, seorang abang sanggup melepaskan marah dengan cuba menembak adik perempuannya menggunakan senapang angin.

Bagaimanapun, dalam dua kejadian terbabit, termasuk yang terbaru kira-kira jam 8.30 malam Selasa lalu, mangsa berusia 30 tahun bernasib baik apabila cubaan suspek menembaknya sempat dielak.

Sumber berkata, kira-kira jam 8 malam Isnin lalu, suspek berusia 40-an cuba menembak adiknya itu menggunakan senapang angin di perkarangan rumah mereka di Tepoh, Kuala Nerus, tetapi tidak kena pada mangsa.

“Mangsa sempat lari menyelamatkan diri ke dalam rumah ketika itu, sekali gus terselamat daripada menjadi mangsa amukan abangnya.

“Suspek sekali lagi mengamuk dan mengulangi perbuatan sama kira-kira jam 8.30 malam Selasa lalu di rumah sama, kerana mendakwa masih tidak berpuas hati dituduh mencuri wang RM100 milik adik perempuannya itu.

“Bagaimanapun, mangsa sekali lagi sempat mengelak sebelum lari menyelamatkan diri bagi menghindari kejadian buruk,” katanya di sini, hari ini.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Batu Rakit bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata iaitu senapang angin.

Berita Harian X