Khamis, 13 Jun 2019 | 11:55pm
DR XAVIER Jayakumar (dua kiri) mendengar penerangan daripada Abdul Kadir (kiri) ketika melihat patung harimau Malaya yang telah di awitkan di gerai pameran PERHILITAN selepas merasmikan Hari Hidupan Liar Sedunia. NSTP/Mohd Yusni Ariffin
DR XAVIER Jayakumar (dua kiri) mendengar penerangan daripada Abdul Kadir (kiri) ketika melihat patung harimau Malaya yang telah di awitkan di gerai pameran PERHILITAN selepas merasmikan Hari Hidupan Liar Sedunia. NSTP/Mohd Yusni Ariffin

PERHILITAN kerjasama dengan PDRM, ATM dalam Ops Belang

KUALA LUMPUR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengekang pemburuan haram harimau belang (Panthera Tigris).

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata kerjasama melalui Ops Belang itu diambil bagi meningkatkan lagi keberkesanan operasi berikutan populasi haiwan itu yang kini di tahap membimbangkan dan diancam kepupusan dengan kurang daripada 200 ekor yang masih hidup.

“Kekurangan kakitangan menjadi antara cabaran bagi memerangi kegiatan pemburu haram Harimau Malaya (harimau belang) ini.

“Maka, selain daripada bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), polis dan tentera juga bakal bersama dalam Ops Belang ini… dalam rondaan hutan bersama, kita boleh pastikan tidak ada pemburu dalam hutan, selain mencari dan membuang jerat yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama di sini, malam ini.

Ditanya mengenai punca harimau belang diburu, Xavier berkata ia berikutan harga tinggi di pasaran gelap.

Sementara itu, Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, berkata sejak Ops Belang dijalankan bermula Januari hingga kini, seramai 19 individu sudah ditahan termasuk enam warga Myanmar, tiga warga Kemboja, selain 10 warga tempatan.

“Seramai 200 kakitangan terbabit setiap bulan dalam Ops Belang di 20 kawasan panas pemburuan di Semenanjung Malaysia,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X