Sabtu, 8 Jun 2019 | 8:57pm
KEADAAN dua kenderaan yang remuk teruk susulan nahas dekat Hulu Selangor, petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca
KEADAAN dua kenderaan yang remuk teruk susulan nahas dekat Hulu Selangor, petang tadi. - Foto Ihsan Pembaca

Warga emas maut nahas 4 Syawal

KUALA LUMPUR: Seorang maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 4, Jalan Sungai Tua menghala Ulu Yam, petang tadi.

Faridah Muda, 63, dari Batang Kali, Selangor yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser bersama enam lagi dipercayai ahli keluarganya, meninggal dunia di lokasi kejadian

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 petang itu, sebuah kereta jenis Toyota Camry dipercayai gagal dikawal pemandunya sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Toyota Unser dinaiki mangsa.

“Toyota Camry yang dinaiki dua lelaki berusia 31 dan 23 tahun dalam perjalanan dari Selayang ke Ulu Yam itu gagal dikawal pemandunya lalu terbabas ke laluan bertentangan.

“Ia kemudian melanggar depan Toyota Unser dinaiki empat lelaki dan tiga wanita.

“Pemandu dan penumpang Toyota Camry cedera parah di kaki manakala seorang penumpang belakang Toyota Unser meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu dan lima penumpang lain Toyota Unser turut cedera parah.

“Semua mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bak Phai berkata, kedua-dua kenderaan yang terbabit mengalami kerosakan teruk di bahagian depan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X