Khamis, 6 Jun 2019 | 7:08pm
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat Mohd Aiman Muhamad Razali yang terjatuh dan lemas di Lagun Kuala Ibai pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca
ANGGOTA bomba dan penyelamat mengangkat mayat Mohd Aiman Muhamad Razali yang terjatuh dan lemas di Lagun Kuala Ibai pagi tadi. - Foto Ihsan Pembaca

Muhammad Aidil ditemui lemas

KUALA TERENGGANU: Aidilfitri kali ini paling pilu buat Muhammad Razali Ibrahim, 38, dan isteri, Noraini Yahya, 42, apabila anak mereka ditemui lemas selepas kira-kira enam jam terjatuh di Lagun Kuala Ibai di sini.

Mayat Muhammad Aidil Muhammad Razali, 9, ditemui tiga anggota pasukan mencari dan menyelamat jam 4.48 petang, ketika melakukan selaman untuk mencari mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Abdullah Zawawi Mohamed, berkata mangsa ditemui pada jarak 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

“Mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian ditemui dalam keadaan terlentang di dalam air.

“Walaupun air di lagun itu agak keruh kerana cuaca hujan ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, keadaan air surut sehingga paras paha memudahkan mayat mangsa ditemui.

“Mayat Muhammad Aidil kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Muhammad Aidil lemas selepas terjatuh ketika bermain di gigi air di lagun berkenaan kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Dalam kejadian itu mangsa yang bermain bersama enam adik-beradiknya yang lain dikatakan terjatuh selepas pasir dipijak runtuh sebelum dihanyutkan air.

Ketika kejadian Muhammad Razali ke kedai berhampiran untuk membeli air, manakala Noraini memantau anak mereka bermain di gigi air.

Keluarga berkenaan pulang menyambut Aidilfitri di rumah ibu bapa Noraini di Kampung Tanjung Paya di sini, sejak Selasa lalu, dan Muhammad Aidil berkali-kali mengajak ke lagun berkenaan untuk bermain dan menikmati pemandangan.

Berita Harian X