Rabu, 5 Jun 2019 | 4:51pm
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sebuah kenderaan di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan R&R Tapah. - Ihsan Bomba
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran sebuah kenderaan di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan R&R Tapah. - Ihsan Bomba

Motosikal, pacuan 4 roda rentung, penunggang parah

TAPAH: Seorang penunggang parah selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda (4x4) di Kilometer 329 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah, di sini tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12 tengah malam itu, motosikal jenis Yamaha 125Z dan pacuan empat roda Isuzu D-Max yang terbabit kemalangan turut musnah terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 12.03 tengah malam dan operasi dijalankan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah.

“Maklumat awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal dan 4x4 yang turut mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.

“Kemusnahan pada Isuzu D-Max terbakar 75 peratus manakala motosikal terbakar 90 peratus, mengakibatkan penunggangnya parah manakala pemandu 4X4 pula tidak alami kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, mangsa yang parah dibawa ke hospital oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Bomba kemudian bertindak memadamkan kebakaran kedua-dua kenderaan terbabit. Operasi diketuai Komander Operasi, Saiful Hanif itu tamat jam 1.41 pagi,” katanya.

Berita Harian X