Selasa, 4 Jun 2019 | 6:06pm

Padah keluar kata lucah pada polis

TAIPING: Seorang lelaki ditahan selepas mengeluarkan kata-kata lucah kepada seorang anggota polis trafik ketika disaman akibat melanggar isyarat lalu lintas di Jalan Pasar, di sini tengah hari tadi.

Lelaki berusia 18 tahun itu bekerja sebagai peniaga bazar dan beralamat di Taman Pengkalan Cemerlang, di sini ditahan selepas dia mengeluarkan perkataan lucah terhadap seorang anggota polis yang sedang bertugas mengeluarkan saman dan turut didengari dengan jelas oleh pengadu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata ketika kejadian kira-kira jam 12.29 tengah hari itu, pengadu yang juga seorang anggota trafik bersama tiga lagi rakannya sedang bertugas membuat kawalan lalu lintas di pusat bandar Taiping.

Katanya, pengadu mengarahkan seorang rakannya untuk mengeluarkan saman ke atas kereta yang dinaiki suspek atas kesalahan mengabaikan isyarat lalu lintas.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba suspek mengeluarkan perkataan lucah terhadap petugas yang mengeluarkan saman dan perkataan itu jelas didengari pengadu dan dua rakan setugasnya.

“Pengadu dan rakannya kemudian menahan suspek atas kesalahan mengeluarkan perkataan lucah kepada anggota polis yang sedang menjalankan tugas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Berita Harian X