Jumaat, 31 Mei 2019 | 3:44pm
POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga Jordan berusia 43 tahun dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya sebelum menghilangkan diri bersama tiga anak mereka di Kampung Muhibbah. - Foto ihsan PDRM
POLIS sedang mengesan seorang lelaki warga Jordan berusia 43 tahun dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya sebelum menghilangkan diri bersama tiga anak mereka di Kampung Muhibbah. - Foto ihsan PDRM

Polis buru lelaki Jordan ugut isteri, cederakan anak

LAHAD DATU: Seorang lelaki warga Jordan sedang diburu polis selepas dipercayai melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya sebelum menghilangkan diri bersama tiga anak mereka di Kampung Muhibbah, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 43 tahun berhubung tindakan suspek terhadap dirinya dan anak-anak mereka.

Mengikut laporan awal, katanya, pengadu mendakwa dimaklumkan oleh pekerjanya di Lahad Datu, 18 Mei lalu, bahawa anak lelakinya dipukul oleh suspek yang berusia 43 tahun.

“Pengadu dimaklumkan anak lelaki berusia lapan tahun dipukul suaminya sehingga menyebabkan kecederaan di muka, leher, punggung dan paha.

“Pada 20 Mei lalu, pengadu kemudian kembali ke Lahad Datu dan membawa anaknya mendapatkan rawatan di klinik swasta, namun tidak membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Mengulas lanjut kejadian itu, Nasri berkata, kira-kira jam 9.30 pagi, Selasa lalu, berlaku satu pertengkaran antara suspek dengan pengadu di pejabat suspek di Fajar Centre, di sini.

“Suspek memaksa pengadu membuat pasport anak bongsunya untuk dibawa balik ke Jordan dan menyebabkan berlaku pertengkaran kerana pengadu tidak bersetuju.

“Suspek kemudian mengugut akan membunuh pengadu sekeluarga jika enggan memberi anak-anak kepadanya sebelum bertindak keluar membawa bersama ketiga-tiga anak mereka menggunakan kenderaan jenis Vigo warna putih dengan nombor pendaftaran SD5641L,” katanya.

Khuatir dengan keselamatan tiga anaknya, pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Nasri berkata pihaknya giat memburu suspek dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan suspek diminta segera menghubungi polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan

Berita Harian X