Jumaat, 31 Mei 2019 | 2:35pm
SEORANG pemandu maut manakala isteri dan dua anak parah selepas treler dinaiki terbabas merempuh pokok sebelum terbalik di Kilometer 309.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba
SEORANG pemandu maut manakala isteri dan dua anak parah selepas treler dinaiki terbabas merempuh pokok sebelum terbalik di Kilometer 309.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan pagi tadi. - Foto Ihsan Bomba

Lelaki maut, isteri dan dua anak parah treler terbalik

KAMPAR: Seorang lelaki maut, manakala isteri dan dua anaknya parah apabila treler dinaiki mereka terbabas dan merempuh pokok sebelum terbalik di Kilometer 309.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, hari ini.

Dalam kemalangan jam 5 pagi, Mohd Suffian Mahathir, 28, yang memandu treler terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian.

Isteri mangsa, Siti Hasfa Suhaila Othman, 26, pula patah tulang bahu kiri, sementara difahamkan dua anak pasangan itu, Muhamad Kusyairi, 5, dan Intan Nur Syazwina, 4, masing-masing patah tangan kiri.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata siasatan awal mendapati treler membawa muatan barangan runcit itu dalam perjalanan dari Pendang, Kedah, menghala ke Johor.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri lebuh raya.

“Treler itu kemudian merempuh pokok sebelum terbalik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Hasron Nazri berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Kampar, untuk bedah siasat, manakala tiga yang parah dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

“Siasatan di lokasi mendapati jalan berkenaan ada dua lorong dan keadaan ketika kejadian adalah gelap serta tiada lampu jalan.

“Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X