Khamis, 30 Mei 2019 | 11:27pm
Anggota bomba dan penyelamat memeriksa mangsa dalam kemalangan maut yang membabit empat kenderaan i Kilometer 72.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sempadan Kuala Krai. - NSTP/Ihsan JBPM
Anggota bomba dan penyelamat memeriksa mangsa dalam kemalangan maut yang membabit empat kenderaan i Kilometer 72.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran sempadan Kuala Krai. - NSTP/Ihsan JBPM

Arwah sempat buat kenduri

GUA MUSANG: “Arwah sempat buat kenduri kesyukuran malam tadi (semalam) untuk menunaikan nazar,” kata Aman Shahid, 64.

Beliau ialah bapa kepada Mohamad Irkhamni, 28, penumpang kenderaan pacuan empat roda yang maut dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 72.5, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, petang tadi.

Dalam kejadian jam 2.20 petang itu, pemandu kenderaan pacuan empat roda, Muhamad Ikhwan Mohd Podzi, 21, turut maut di lokasi kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Gua Musang.

Selain kenderaan itu, empat kenderaan lain terbabit kemalangan sama adalah treler muatan sawit, lori muatan kotak, Perodua Myvi dan Honda City.

Kejadian berlaku apabila pacuan roda dinaiki mangsa berhenti untuk masuk ke simpang kanan sebelum dirempuh kereta di belakang dan memasuk ke laluan bertentangan.

Kenderaan mangsa kemudian dirempuh treler muatan sawit dari arah Gua Musang-Kuala Krai sebelum dilanggar lori dan sebuah lagi kereta.

Mangsa yang parah terdiri daripada pemandu treler, pemandu lori, kelindan lori dan penumpang sebuah kereta dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Aman berkata, nazar Mohamad Irkhamni itu dibuat apabila arwah mendapat ganjaran selepas berjaya menjual lebih 20 ekor lembu milik jiran di Kampung Merapoh, Pahang, minggu lalu.

“Apabila dapat duit itu, terus beli seekor lembu untuk majlis berbuka puasa di surau berhampiran rumah dan tidak sangka itulah nazarnya yang terakhir.

“Pemergiannya amat dirasai namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kemalangan mengakibatkan jalan di lokasi kejadian sesak.

“Bagaimanapun kesesakan itu pulih semula sejam kemudian selepas semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan dialihkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X