Rabu, 29 Mei 2019 | 7:01am

Polis jumpa ganja dalam treler terbabit kemalangan

HULU SELANGOR: Polis menjumpai dua paket plastik disyaki ganja dalam sebuah treler membawa muatan kren yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 4.7 Jalan Rawang Bypass, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai, berkata kejadian kira-kira jam 7.10 malam itu turut menyebabkan seorang penunggang motosikal parah selepas melanggar kren yang terjatuh dari treler terbabit.

Katanya, pemeriksaan pada pemandu treler berusia 47 tahun itu turut mendapati dia berada dalam keadaan khayal.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila treler berkenaan yang dalam perjalanan dari Ulu Yam ke Terengganu hilang kawalan ketika menaiki bukit menyebabkan muatan kren dibawa jatuh.

“Sebuah motosikal ditunggangi lelaki berusia 31 tahun yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar kren yang melintang di atas jalan. Akibat kemalangan itu, mangsa parah di bahagian kaki dan leher.

“Pemeriksaan ke atas treler terbabit menemui dua paket plastik disyaki ganja dan keadaan pemandu treler ketika itu khayal,” katanya dalam satu kenyataan.

Bak Phai berkata, pemandu treler berkenaan kemudian diiringi anggota trafik ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan manakala penunggang motosikal terbabit juga dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Berita Harian X