Isnin, 27 Mei 2019 | 3:45pm
Sebuah kilang di Senawang disita serta diarah tutup oleh JAS Negeri Sembilan selepas dipercayai menghasilkan pencemaran bau.
Sebuah kilang di Senawang disita serta diarah tutup oleh JAS Negeri Sembilan selepas dipercayai menghasilkan pencemaran bau.

2 kilang punca pencemaran udara diarah tutup

SEREMBAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengarahkan dua kilang membuat perabot dan kitar semula plastik di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, Senawang, ditutup kerana dipercayai menghasilkan pencemaran udara.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan, berkata tindakan itu diambil susulan siasatan yang dijalankan pada 16 April dan 3 Mei lalu.

Katanya, serbuan pertama di kilang pembuatan perabot berlesen itu mengesan berlaku kerja-kerja pembakaran serta penghasilan cecair gam.

“Aktiviti itu disyaki menjadi punca utama pelepasan bau pelarut dan kimia ke kawasan perumahan berhampiran. Justeru, JAS menyita kelengkapan di premis itu mengikut Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan berkata, kilang kedua yang disiasat adalah kilang kitar semula plastik yang mempunyai lesen daripada Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

“Kilang berkenaan mempunyai alat kawalan udara bagi semua mesin yang digunakan tetapi didapati memproses jenis plastik keras yang mengeluarkan bau yang kuat.

“Keupayaan sistem kawalan udara didapati tidak mencukupi, justeru JAS mengarahkan kilang berkenaan ditutup dan kini (pengurusan kilang) sedang meningkatkan alat kawalan udara sedia ada,” katanya.

Veerapan berkata, JAS kini dalam proses permohonan perintah larangan mengikut Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 bagi kedua-dua kes itu.

Beliau turut menyarankan supaya industri kitar semula plastik dipantau dan pemasangan kelengkapan kawalan bersesuaian perlu direka bagi memastikan pencemaran bau dapat diatasi.

Berita Harian X