Jumaat, 24 Mei 2019 | 5:28pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Mahkamah tolak permohonan batal saman pemaju projek mini hidro

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan dua pemaju projek mini hidro untuk membantah tuntutan saman daripada penduduk Orang Asli Ulu Geruntum, Gopeng.

Pesuruhjaya Kehakiman, Anselm Charles Fernandis, membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan untuk membatalkan saman itu adalah satu tindakan yang terlalu drastik.

“Perkara itu mesti diperdengarkan terlebih dulu sebelum perintah itu boleh dikeluarkan,” katanya.

Beliau turut menetapkan kos sejumlah RM1,000 kepada Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd dan Conso Hydro R E Sdn Bhd yang bertindak sebagai defendan selain menetapkan pendengaran selama tiga hari bermula 24 Jun ini.

Kedua-dua defendan diwakili Mohd Fitri Asmuni manakala plaintif diwakili oleh K Vinu, Conrad Lopez dan Lee Yoong-Uei.

Saman berkenaan difailkan enam defendan pada 24 April tahun lalu selepas projek berkenaan didakwa melanggar hak masyarakat Orang Asli di atas tanah seluas kira-kira 62 hektar yang terjejas akibat projek berkenaan.

Sebelum ini, kira-kira 200 penduduk Orang Asli dari Kampung Ulu Kampar dan Kampung Orang Asli Perkampungan Ulu Geruntum di Gopeng; Kampung Sat, Kampung Kejau, Kampung Res, Kampung Gamus dan Kampung Tidong di Sungkai membantah projek itu kerana mendakwa ia menutup dan menjejaskan punca pendapatan mereka.

Berita Harian X