Jumaat, 24 Mei 2019 | 10:50am
BEKAS Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid. - Foto Rosdan Wahid
BEKAS Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid. - Foto Rosdan Wahid

Waran tangkap untuk bekas ketua pengarah MEIO

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid kerana gagal hadir untuk pengurusan kes pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta yang dihadapinya.

Waran tangkap itu dikeluarkan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad.

Terdahulu, Muhamad Iskandar memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah kerana beliau dan dua penjaminnya tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Iskandar berkata, waran tangkap perlu dikeluarkan kerana tiada sebarang alasan munasabah dikemukakan kepada mahkamah atas kegagalannya hadir.

Bagaimanapun, peguam Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili Hasanah mengakui kesilapan pihaknya kerana gagal memaklumkan anak guamnya berhubung tarikh pengurusan kes itu.

Peguam itu turut memohon supaya mahkamah tidak mengeluarkan waran tangkap berkenaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Jun depan bagi sebutan waran tangkap dan notis waran kepada kedua penjamin kes terbabit.

Pada 25 Oktober tahun lalu, Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Hasanah didakwa melakukan perbuatan itu antara 30 April dan 9 Mei tahun lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X