Rabu, 22 Mei 2019 | 12:41am

11 termasuk 7 polis ditahan kes peras pengurup wang RM200,000

KUALA LUMPUR: Tujuh anggota polis termasuk dua pegawai berpangkat Inspektor yang ditahan kerana menyamun dan memeras RM204,000 daripada seorang pengurup wang, kelmarin, direman empat hari untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, dalam kenyataan malam tadi memaklumkan selain tujuh anggota polis terbabit, empat orang awam termasuk seorang kakitangan Bank Negara turut ditahan kerana disyaki bersubahat.

“Anggota polis yang ditahan terdiri terdiri daripada seorang pegawai berpangkat Inspektor dari Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Muar dan seorang Inspektor daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

“Selebihnya terdiri daripada tiga anggota polis dari Balai Polis Sea Park, dan masing-masing seorang anggota dari IPD Petaling Jaya dan Balai Trafik Jalan Bandar.

“Kesemua mereka ditahan pada Isnin lalu dan kini sedang direman empat hari bermula hari ini (semalam) sehingga Jumaat ini,” katanya.

Selain itu, katanya empat orang awam termasuk seorang kakitangan Bank Negara turut ditahan semalam dan permohonan reman ke atas mereka akan dipohon hari ini.

“Kesemua suspek berusia antara 31 hingga 41 tahun.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana merompak dan Seksyen 170 kanun sama kerana menyamar,” katanya.

“Polis Kuala Lumpur memandang serius kes ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota polis dan orang awam yang terbabit dalam sebarang perlakuan jenayah.

“Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Mazlan berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Dang Wangi, Deputi Superintendan M Gunalan di talian 019-3114418, atau Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Jefri Faizal Jimi Sham di talian 017-3354241.

Selain itu, maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, Mazlan mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung kejadian itu daripada seorang ahli perniagaan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang Isnin lalu itu, ketika mangsa berada di premis perniagaannya di Jalan Silang di sini, didatangi sembilan individu memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman dari Bahagian Jenayah Perdagangan dan pegawai Bank Negara.

“Suspek mendakwa mangsa menjalankan kegiatan pengurupan wang tanpa lesen dan dalam kejadian itu, mangsa serta empat pekerja digari dan telefon bimbitnya dirampas.

“Suspek turut mengambil wang tunai berjumlah RM4,000 yang disimpan dalam ‘petty cash’ milik mangsa,” kata Mazlan.

Katanya, suspek kemudian meminta wang berjumlah RM 200,000 sekiranya mangsa hendak dilepaskan dan mangsa yang ketakutan kemudian menyerahkan wang yang diminta.

Mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum satu operasi mengesan semua suspek terbabit dilakukan oleh Polis Daerah Dang Wangi.

Difahamkan, sekitar jam 4 pagi semalam, seorang pegawai dan empat anggota yang bertugas di bawah pentadbiran IPD Petaling Jaya ditahan di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya.

Turut ditahan seorang anggota Balai Polis Trafik Jalan Bandar, yang juga abang kepada salah seorang suspek dari IPD Petaling Jaya.

Berita Harian X