Selasa, 21 Mei 2019 | 12:14pm
KEADAAN motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Lahad Datu-Tawau. - Foto ihsan polis.
KEADAAN motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Lahad Datu-Tawau. - Foto ihsan polis.

2 maut nahas di Lahad Datu

LAHAD DATU: Tindakan penunggang dan pembonceng menaiki motosikal tanpa memakai topi keledar membawa padah selepas kedua-duanya maut dalam kemalangan di Kilometer 22 Jalan Lahad Datu - Tawau, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 10.20 malam itu, Irwan Boy, 19, yang menunggang motosikal berkenaan bersama rakan pemboncengnya, Nur Hafezah Mooti, 26, dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Lahad Datu.

Bagaimanapun ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang laju dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas ke kiri jalan lalu terhumban ke dalam parit berhampiran.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansur berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala dan badan.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar, selain dipercayai menunggang secara laju menuruni bukit sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

“Hasil pemeriksaan lanjut, penunggang motosikal yang beralamat terakhir di Kampung Silam, di sini, tidak mempunyai lesen memandu dan keterangan diri yang sah.

“Manakala, pembonceng motosikal yang beralamat di Kampung Sri Aman, di sini adalah seorang pemegang kad IMM13,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Nasri berkata, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X