Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:31am

Lelaki ditahan ugut bunuh ibu kandung

LAHAD DATU: Seorang lelaki ditahan selepas membuat ugutan bunuh terhadap ibunya di dalam rumah mereka di Taman Pertama, di sini.

Dalam kejadian jam 9 malam kelmarin, mangsa berusia 53 tahun cuba menegur suspek berusia 27 tahun kerana memarahi isterinya yang menemui beg tangan wanita disyaki milik teman wanita suspek.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor, berkata suspek tiba-tiba bertindak agresif dan marah lalu ke dapur rumah untuk mengambil sebilah pedang samurai.

“Suspek kemudian mengugut akan membunuh mangsa dan semua orang di dalam rumah.

“Pada ketika itu juga isteri suspek terus mengambil pedang samurai berkenaan dan mengarahkan suspek berhenti mengamuk.

“Suspek kemudian terus beredar dari rumah. Akibat perbuatan suspek itu, mangsa yang bimbang kemudian menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nasri berkata, susulan aduan itu, kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam, suspek ditahan sepasukan polis.

“Polis turut merampas sebilah pedang samurai yang dipercayai digunakan oleh suspek ketika kejadian.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

tamat

Berita Harian X