Rabu, 15 Mei 2019 | 8:45am
Nahas di Kilometer 52.8 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah, malam tadi. - Ihsan pembaca
Nahas di Kilometer 52.8 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah, malam tadi. - Ihsan pembaca

2 maut kereta bertembung lori tangki

TAPAH: Seorang lelaki dan wanita maut selepas kereta dinaiki merempuh lori tangki, sebelum terbabas ke dalam parit di Kilometer 52.8 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini malam tadi.

Dalam kemalangan 11 malam itu, Cheong Shaun Wei , 36 yang memandu kereta PERODUA Myvi dan rakan wanitanya, Yow Xue Yei, 30 maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori lelaki berusia 28 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu dalam perjalanan dari Bidor menghala ke Kampar, manakala lori berkenaan dari arah bertentangan.

Katanya, pemandu kereta berkenaan dipercayai cuba memotong kenderaan lain sebaik tiba di lokasi dengan memasuki laluan bertentangan, namun gagal dan bertembung dengan lori terbabit.

“Lori berkenaan yang berada di laluan sah tidak sempat mengelak sebelum dirempuh kereta terbabit secara berhadapan.

“Susulan itu, kereta berkenaan berpusing beberapa kali sebelum jatuh ke dalam parit di tepi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Wan Azharuddin berkata, akibat kemalangan itu, pemandu dan penumpang kereta maut di tempat kejadian.

“Kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati cuaca hujan lebat ketika kemalangan berlaku dan kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Katanya, kenderaan yang terbabit kemalangan itu dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Tapah untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X