Isnin, 13 Mei 2019 | 4:54pm
AZHAR Amran dan anaknya, Muhammad Ammar Raziq. - Foto Noor Hidayah Tanzizi
AZHAR Amran dan anaknya, Muhammad Ammar Raziq. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

Terduduk lemah pangku anak berlumuran darah

PARIT: “Pada saat memangku arwah yang berlumuran darah, kaki saya terus lemah sehingga terduduk di tepi jalan dan hanya mampu menjerit memanggil isteri di rumah.”

Azhar Amran, 48, berkongsi detik hiba tragedi anaknya, Muhammad Ammar Raziq, 10, maut akibat dirempuh motosikal ketika melintas jalan untuk ke surau kira-kira 50 meter dari rumah mereka di Kampung Ekor Lambat, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, difahamkan, Muhammad Ammar Raziq mahu berbuka puasa di surau di hadapan rumah mereka kerana semalam adalah giliran bapanya mengadakan majlis berbuka puasa di rumah ibadat berkenaan.

Azhar berkata, beliau sudah ke surau itu terlebih dahulu untuk melihat makanan dihantar pihak katering pada jam 6.15 petang.

Ketika itu, beliau berkata, Muhammad Ammar Raziq yang juga anak kedua daripada tiga beradik, sedang bermain Beyblade bersama rakan di dalam rumah.

“Sedang duduk di tingkat bawah surau dan menghadap tangga, tiba-tiba saya terdengar bunyi motosikal terjatuh dan terseret tetapi belum nampak siapa lagi.

“Namun, luluh hati saya apabila mendapati anak terbaring dalam keadaan mengiring di tepi jalan sebelum terus berlari dan mengangkatnya yang dilihat berdarah di mulut serta telinga,” katanya ketika ditemui di rumah mereka, hari ini.

Ibu mangsa, Azizah Mat Nor, 45, pula berkata sebelum kejadian, Muhammad Ammar Raziq yang mesra dipanggil ‘abang’ sempat meminta izinnya untuk ke surau.

“Arwah berkata pada saya, ‘Mama, abang nak pergi tengok ayah dekat surau’. Tidak lama kemudian, saya terdengar suara orang menjerit di hadapan rumah.

“Saya terus berlari keluar rumah dan nampak suami sedang memangku anak. Pada saat itu, saya berdoa supaya anak selamat dan menyangka keadaannya tidak teruk sangat.

“Bagaimanapun, doktor kemudian memaklumkan bahawa ‘abang’ sudah tiada,” katanya yang baru berpindah ke kampung itu, Disember lalu.

Menceritakan lanjut, Azizah berkata, sejak sebulan lalu, sikap arwah agak berbeza apabila menjadi terlalu manja dan mahu tidur bersamanya berbanding sebelum ini.

Akibat kemalangan itu, Muhammad Ammar Raziq meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Changkat Melintang, di sini, pada jam 6.55 petang semalam.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Chupak, Parit, jam 10 pagi tadi.

Berita Harian X