Isnin, 13 Mei 2019 | 3:22pm
Anggota polis menahan suspek yang menjalankan aktiviti sabung ayam tanpa lesen dalam serbuan di kawasan hutan berhampiran sebuah penempatan setinggan di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu. - NSTP/Erika George
Anggota polis menahan suspek yang menjalankan aktiviti sabung ayam tanpa lesen dalam serbuan di kawasan hutan berhampiran sebuah penempatan setinggan di Jalan Tanjung Kidurong, Bintulu. - NSTP/Erika George

9 'kaki sabung' kena cekup

BINTULU: Seramai sembilan `kaki judi’, termasuk warga emas ditahan di kawasan belukar berhampiran penempatan setinggan di Jalan Tanjung Kidurong, di sini semalam yang dijadikan lokasi sabung ayam haram.

Turut dirampas bangkai tiga ayam jantan yang dipercayai mati dalam pertaruhan itu, selain lima ayam jantan hidup, wang pertaruhan dan pelbagai peralatan digunakan untuk aktiviti berkenaan, termasuk alat penimbang.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, serbuan kira-kira jam 4.45 petang itu susulan maklumat risikan dan hasil intipan di lokasi berkenaan yang menjadi tumpuan kaki sabung ayam.

“Serbuan membabitkan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dalam usaha membanteras habis-habisan sebarang bentuk aktiviti perjudian haram, termasuk sabung ayam.

“Keseluruhannya, sembilan `kaki judi’ ditahan berusia antara 27 hingga 60 tahun, masing-masing lapan warga tempatan dan seorang warga asing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang leka melakukan aktiviti sabung ayam sehingga tidak menyedari kehadiran polis.

“Sejurus menyedari kehadiran anggota bertugas, kesemua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan,” katanya.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962 dan dikenakan ditahan reman sehingga 14 Mei ini.

“Jika sabit kesalahan, kesemua suspek berdepan hukuman denda RM1,000 atau tiga bulan penjara. Seorang suspek lelaki warga asing juga akan turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c ) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Berita Harian X