Ahad, 5 Mei 2019 | 12:23pm

Polis tahan lelaki samseng jalanan

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Dato Keramat, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff, berkata suspek ditahan kira-kira jam 10 malam di Kampung Datuk Keramat.

“Susulan laporan polis yang dibuat mangsa iaitu wanita yang dicederakan seorang penunggang motosikal, polis menjalankan siasatan lanjut dan mengesan suspek.

“Pada 2 Mei, sepasukan polis pergi ke sebuah alamat di Kg Datuk Keramat dan menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dipercayai suspek dalam kejadian terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Azmi berkata, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek didapati negatif.

Katanya, siasatan diteruskan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dan suspek direman selama empat hari sehingga 7 Mei ini untuk tindakan lanjut.

BH sebelum ini melaporkan polis sedang mengesan seorang lelaki yang disyaki mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita dalam satu kejadian di Jalan Dato Keramat yang turut tular di media sosial.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek didapati menumbuk kepala dan menampar muka wanita terbabit.

Kejadian itu sempat dirakam oleh seorang pengguna jalan raya lain.

Berita Harian X