Jumaat, 3 Mei 2019 | 2:46pm

Tanda tangan lucah 'berharga' RM8,000

SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini mendenda seorang mekanik RM8,000 kerana menurunkan tanda tangan menggunakan perkataan lucah pada saman trafik diterimanya, 28 Mei lalu.

Nor Exzuan Nor Hashimy, 35, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan kepadanya secara berasingan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam iaitu anggota polis menjalankan tugasnya dan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar, sebelum Majistret Mahyun Yusof menjatuhkan hukuman denda RM4,500 dan penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.

Di mahkamah berasingan, tertuduh didakwa menulis perkataan lucah pada ruangan tanda tangan kertas saman dengan niat mengaibkan kehormatan seorang anggota polis di tepi Jalan Persiaran Senawang 1, di sini.

Bagi perbuatan itu, dia boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur manakala Majistret V Vanita menjatuhkan hukuman denda RM3,500 dan penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Tertuduh membayar kedua-dua denda berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi Ahad lalu, tertuduh yang memandu Proton Wira ditahan oleh anggota polis trafik Seremban di tepi Jalan Persiaran Senawang 1, di sini kerana tidak memakai tali pinggang keledar.

Berikutan itu, polis mengeluarkan saman sebelum meminta tertuduh menandatanganinya.

Bagaimanapun, tertuduh meletakkan perkataan lucah dipercayai berniat untuk memperlekeh dan menghina anggota polis terbabit.

Berita Harian X