Rabu, 1 Mei 2019 | 4:50pm

Detik cemas bas ekspres terbalik dalam parit

MUAR: Empat penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabas sebelum terbalik di dalam parit di Batu 10 Jalan Muar-Pagoh, di sini, semalam.

Kejadian jam 6.45 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip, berkata kemalangan berlaku ketika bas ekspres terbabit dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Muar.

“Sampai di lokasi kejadian, stereng bas ekspres itu dikatakan tiba-tiba tidak dapat dikawal pemandu berusia 53 tahun, sebelum kenderaan berkenaan terbabas ke sebelah kanan dan terbalik di dalam parit.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian hadapan bas ekspres itu mengalami kerosakan. Namun, semua penumpang dan pemandunya dilaporkan selamat serta tidak mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zaharudin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di jalan lurus dengan permukaan jalan kering.

Katanya, polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes terbabit.

Berita Harian X