Selasa, 30 April 2019 | 12:24pm
KEADAAN bas yang merempuh belakang sebuah treler membawa muatan besi di Kilometer 231.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba
KEADAAN bas yang merempuh belakang sebuah treler membawa muatan besi di Kilometer 231.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, awal pagi tadi. - Foto ihsan bomba

Pemandu maut bas rempuh belakang lori

KUALA KANGSAR: Pemandu bas maut manakala tiga penumpang cedera selepas bas dinaiki merempuh belakang sebuah treler membawa muatan besi di Kilometer 231.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, pemandu bas Suasana Ekspres, Mohd Hafisol bin Lat, 43, beralamat di Kampung Alor Senjaya, Anak Bukit, Alor Setar, Kedah, meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara, tiga penumpang iaitu seorang wanita mengandung berusia 23 tahun patah paha kiri, seorang wanita berusia 19 tahun cedera di kepala dan seorang lelaki berusia 26 tahun, cedera di dahi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 4.05 pagi daripada orang awam.

"Siasatan mendapati treler dari arah Kuala Lumpur hendak ke Seberang Prai, Pulau Pinang, manakala bas ekspres membawa enam penumpang juga dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kedah.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan disebabkan sebuah kenderaan berhenti di bahu jalan," katanya di sini hari ini.

Razali berkata, sebaik treler itu berjaya memasuki lorong kanan jalan, bas dari arah belakang yang sedang bergerak laju tidak sempat mengelak lantas merempuh kenderaan berat berkenaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Taiping untuk bedah siasat dan semua penumpang dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, pemandu treler yang berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau berkata, ketika kejadian suasana jalan adalah gelap dan dalam keadaan mendaki kerana lokasi berkenaan adalah kawasan cerun.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada jam 3.12 pagi dan sebaik tiba di lokasi mendapati seorang mangsa tersepit serta disahkan sudah meninggal dunia di bahagian pemandu bas.

"Bomba menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan mangsa yang kemudian diserahkan kepada polis bagi tindakan lanjut dan operasi diketuai Komander Operasi Meor Haslin Baheran itu ditamatkan jam 8.01 pagi," katanya.

Berita Harian X