Selasa, 30 April 2019 | 11:07am
KEADAAN motosikal ditunggang Muhamad Safuan Azran Aznan yang maut dipercayai terbabas. - NSTP/Ihsan PDRM
KEADAAN motosikal ditunggang Muhamad Safuan Azran Aznan yang maut dipercayai terbabas. - NSTP/Ihsan PDRM

Penunggang maut, pembonceng parah motosikal terbabas

TAPAH: Seorang penunggang maut, manakala pemboncengnya parah selepas motosikal dinaiki hilang kawalan dan merempuh penghadang besi di Kilometer 327.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 6.45 pagi itu, Muhamad Safuan Azran Aznan, 23, yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR beralamat di Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah, maut di lokasi kejadian.

Pembonceng motosikal sama, Muhammad Muhaimin Parizal, 22, yang beralamat di Taman Gunung Bongsu Fasa 1, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, parah di badan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Kedah menghala ke Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh besi penghadang lebuh raya dan terbabas.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian manakala pembonceng cedera parah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala mangsa cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita Harian X