Sabtu, 27 April 2019 | 10:35pm

Peluncur udara lemas terjatuh dalam sungai Keluang

JERTIH: Seorang peluncur udara maut dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Keluang, berdekatan Bukit Bubus dan Bukit Keluang, di sini, petang tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang apabila mangsa, Ab Haziz Muhamood, 61, berasal dari Kuala Lumpur dikatakan terjatuh di muara sungai itu ketika mahu melakukan pendaratan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata sebelum kejadian mangsa melakukan aktiviti luncur udara dari puncak Bukit Bubus, tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Selepas beberapa minit berada di udara, mangsa dipercayai mahu mendarat tetapi tersasar dan terjatuh ke dalam sungai sebelum lemas.

“Kejadian disedari rakan peluncur yang lain dan dengan bantuan beberapa orang awam yang berada di tempat kejadian, mangsa segera dibawa naik ke tebing menggunakan bot,” katanya.

Zamri berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di situ.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Besut untuk bedah siasat,” katanya.

Berita Harian X