Khamis, 25 April 2019 | 9:02pm

Jual barang tiruan kena siasat bawah AMLA 2001

NILAI: Pihak yang terbabit dalam aktiviti ciplak atau mengeluarkan barang tiruan tidak lagi dikenakan kompaun atau saman, sebaliknya disiasat mengikut Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, bermula April ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata siasatan mengikut akta itu akan dibuat bagi rampasan bernilai RM30,000 dan ke atas.

Jika sebelum ini katanya, pihak yang menggunakan cap dagang milik syarikat lain akan dikenakan saman atau kompaun tetapi kini KPDNHEP bertindak lebih tegas.

“Bermula bulan ini, pihak yang terbabit hasil ciplak atau barang tiruan akan ditahan, direman, disiasat dan dihadapkan ke mahkamah.

“Mereka akan didakwa mengikut Akta Penggubahan Wang Haram 2001 dan pelaksanaan itu menggunapakai peruntukan sedia ada,” katanya pada Majlis Pelupusan Eksibit Perdana 2019 di Stor Penyimpanan Ekshibit KPDNHEP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, pelaksanaan itu bertujuan membasmi aktiviti penjualan dan penggunaan barang tiruan.

“KPDNHEP komited membanteras masalah ini dan ia peringatan untuk semua,” katanya.

Pada majlis itu, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP melupuskan pelbagai barangan tiruan membabitkan 78 kes bernilai RM6.7 juta antaranya beg tangan, kasut, arak, pakaian dan sebagainya.

Turut dilupuskan 62,166 katrij dan toner tiruan bernilai RM3.1 juta.

ISKANDAR Halim Sulaiman menunjukkan barang tiruan untuk dilupuskan pada majlis Pelupusan Ekshibit Perdana 2019 di stor Peyimpanan Ekshibit KPDNHEP, Nilai. - Foto Adzlan Sidek
ISKANDAR Halim Sulaiman menunjukkan barang tiruan untuk dilupuskan pada majlis Pelupusan Ekshibit Perdana 2019 di stor Peyimpanan Ekshibit KPDNHEP, Nilai. - Foto Adzlan Sidek
Berita Harian X