Rabu, 24 April 2019 | 10:24am
KEADAAN motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Tenom-Kemabong, malam tadi. - Foto ihsan polis
KEADAAN motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 3, Jalan Tenom-Kemabong, malam tadi. - Foto ihsan polis

Tiga beranak maut motosikal bertembung pacuan empat roda

KOTA KINABALU: Tiga beranak maut selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di Kilometer 3, Jalan Tenom-Kemabong, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, motosikal malang itu ditunggang lelaki berusia 32 tahun bersama dua pembonceng iaitu isteri, 42, bersama anak pasangan terbabit yang berusia 8 tahun.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superintendan Hasan Majid, berkata siasatan awal mendapati semua mangsa bergerak dari arah Kemabong menuju ke pekan Tenom manakala pemandu kenderaan dalam perjalanan menuju ke Kampung Chinta Mata.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan dipercayai hilang kawalan dan terus memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan Toyota Hilux.

“Kenderaan pacuan empat roda berkenaan cuba mengelak namun gagal memberhentikan kenderaan akibat jaraknya yang terlalu hampir.

“Semua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala pemandu kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk siasatan dan hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya juga didapati negatif.

Katanya, siasatan juga mendapati pemandu kenderaan serta mangsa yang maut tidak disyaki mabuk namun sampel darah diambil untuk menjalani ujian alkohol dan dadah.

Sehubungan itu, Hasan meminta saksi kejadian supaya tampil menyalurkan maklumat untuk membantu siasatan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Berita Harian X