Selasa, 23 April 2019 | 4:29pm
SEORANG penjual sate didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menetak rakan baiknya menggunakan sebilah golok dalam kejadian di Kampung Limau Manis, Jalan Hamzah, 11 tahun lalu. - Foto Nor Fazlina Abdul Rahim
SEORANG penjual sate didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menetak rakan baiknya menggunakan sebilah golok dalam kejadian di Kampung Limau Manis, Jalan Hamzah, 11 tahun lalu. - Foto Nor Fazlina Abdul Rahim

Penjual sate didakwa tetak rakan

KOTA BHARU: Seorang penjual sate didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menetak rakan baiknya menggunakan golok, 11 tahun lalu.

Tertuduh, Zainal Ab Karim, 60, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Ahmad Rosdi Abdullah, 62, menggunakan sebilah golok.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Kampung Limau Manis, Jalan Hamzah di sini kira-kira pukul 1.30 petang pada 6 September 2008.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry, manakala tertuduh diwakili peguam, Norizaidah Abdul Salam.

Pada prosiding itu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Manakala, Norizaidah memohon wang jaminan rendah terhadap tertuduh kerana tertuduh baru sihat dari serangan strok dan pernah diserang penyakit itu sebanyak dua kali selain mempunyai penyakit darah tinggi.

Ahmad Bazli membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X