Selasa, 23 April 2019 | 3:43pm

AADK tahan nenek pengedar dadah

YAN: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan seorang nenek yang menjadi pengedar dadah di kawasan Kuala Sala dekat sini, dalam operasi Ops Cegah hari ini.

Dalam serbuan kira-kira jam 1 tengah hari itu, wanita berusia 39 tahun ditahan bersama rakan wanitanya berusia 33 tahun ketika mereka sedang menunggu pelanggan di laluan berdekatan Tandop.

Ketua Pegawai AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli, berkata wanita yang mempunyai lapan anak dan dua cucu itu dipercayai terkenal sebagai pengedar dadah dalam kalangan penagih dadah di kawasan itu.

Katanya, suspek aktif menjual dadah secara kecil-kecilan dan bergerak ke sarang penagih dengan menaiki motosikal sejak beberapa bulan lalu.

“Wanita yang ditahan itu disyaki menjadi pengedar dadah dan pernah ditangkap beberapa kali sebelum ini kerana melakukan kegiatan sama.

“Dalam operasi hari ini, kita menahan 26 individu berusia 16 hingga 54 tahun kerana disyaki terbabit dalam kegiatan mengedar dan menghisap dadah,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Operasi bermula jam 9 pagi tadi dan mendapat bantuan anggota AADK Pendang dan Yan menyasarkan sarang penagihan sekitar Kuala Sala dan Tandop.

Mohamad berkata, kebanyakan penagih yang dicekup adalah penagih tegar, malah ada antara mereka pernah beberapa kali mendapat rawatan di pusat pemulihan dan dipenjara kerana terbabit dengan dadah.

“Sarang penagihan di Tandop sering menjadi tumpuan penagih mendapatkan bekalan dadah sehingga membimbangkan penduduk kerana kegiatan itu dilihat pelajar sekolah.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua 26 penagih itu mendapati mereka positif mengambil dadah jenis syabu dan heroin,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan semua mereka dibawa ke Pejabat AADK Yan.

DUA wanita (depan) antara 26 yang dipercayai penagih yang ditahan dalam operasi AADK di Kuala Sala, Yan. - Foto Shahrizal Md Noor
DUA wanita (depan) antara 26 yang dipercayai penagih yang ditahan dalam operasi AADK di Kuala Sala, Yan. - Foto Shahrizal Md Noor
Berita Harian X