Jumaat, 19 April 2019 | 3:25pm

Juruteknik didakwa pukul kanak-kanak guna kayu

KUALA LUMPUR: Seorang juruteknik bebas syarikat swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan memukul seorang kanak-kanak lelaki dengan menggunakan kayu.

Ahmad Saufi Nin Ahmad Latfi, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Dia didakwa memukul seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun tujuh bulan menggunakan kayu sehingga menyebabkan kecederaan iaitu lebam di kaki kiri mangsa.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah flat di Taman Desa, Brickfields, di sini, kira-kira jam 2 petang, pada 12 April 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mohd Ashif tidak menawarkan jaminan.

Bagaimanapun, Ahmad Saufi Nin yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dibenarkan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mendekati mangsa dan keluarga mangsa.

Mahkamah menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.

Berita Harian X