X
Rabu, 17 April 2019 | 12:38pm
Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan. - Arkib NSTP
Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan. - Arkib NSTP

Mahkamah tetapkan bicara Hasanah 3 Februari tahun depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 15 hari bermula 3 Februari 2020 untuk perbicaraan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, yang dituduh pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh perbicaraan kes itu bermula 3 hingga 21 Februari 2020.

Mahkamah turut menetapkan 25 Mei ini untuk pengurusan kes.

Terdahulu, Hasanah, 61, yang diwakili peguam Datuk Shaharudin Ali minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan semula terhadapnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Mahadhir Mohd Khairudin, pula memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memanggil antara 15 dan 20 saksi.

Hasanah didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 30 April 2018 dan 9 Mei lalu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Berita Harian X