Selasa, 16 April 2019 | 6:55pm

Sindiket seludup hidupan liar tumpas, dua ditahan

PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar susulan tangkapan dua pemburu haram warga Vietnam dan rampasan bernilai kira-kira RM600,000, semalam.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, berkata dua lelaki berkenaan masing-masing berusia 25 dan 29 tahun ditangkap dalam serbuan di Hulu Sungai Tersat, Taman Negara, Terengganu kira-kira jam 6.45 pagi semalam oleh pasukan taktikal khas PERHILITAN.

“Dalam serbuan itu, antara barang kes ditemui bersama suspek dan disita termasuk beberapa anggota hidupan liar disyaki spesies harimau belang dan kumbang (kuku dan taring), beruang matahari (hempedu, taring dan kuku) dan babi hutan (taring).

“Turut dirampas, peralatan memburu termasuk jerat dawai, parang, lembing, kapal dan pelarik kayu selain pasport dan telefon bimbit suspek.

“Mereka dipercayai sudah lebih empat bulan tinggal dalam hutan di Taman Negara berkenaan berdasarkan rekod dokumen perjalanan memasuki negara ini sejak Disember tahun lalu.

“Kedua-dua suspek direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Taman Negara Terengganu Nombor 39 kerana menceroboh Taman Negara dan disiasat kerana memburu dan menyimpan hidupan liar tanpa kebenaran PERHILITAN di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

“Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 29 Akta 716 kerana memiliki jerat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Xavier berkata, PERHILITAN turut menjalankan ujian Asid Deosiribonukleik (DNA) terhadap semua barang kes untuk mengesahkan spesies hidupan liar terbabit.

Katanya, ujian forensik yang dijangka mengambil masa tiga hari akan dijalankan di Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan milik PERHILITAN.

“Modus operandi pemburu haram ini adalah menggunakan jerat dawai dipasang di laluan hidupan liar.

“Kita percaya ada dua lagi ahli dalam sindiket ini yang masih bebas tetapi belum dapat dipastikan mereka masih tinggal dalam hutan itu atau sudah keluar,” katanya.

Beliau menolak kemungkinan pembabitan rakyat tempatan dalam sindiket itu berdasarkan situasi suspek yang hanya boleh bertutur dalam bahasa Vietnam.

Katanya, PERHILITAN turut melakukan siasatan lanjut terhadap rekod panggilan telefon suspek bagi mengesan bukti terkini.

“Kerajaan serius dalam memastikan hidupan liar terpelihara dan tidak mengalami kepupusan terutama membabitkan Harimau Malaya yang mana ketika ini ada kurang 200 ekor haiwan itu di hutan seluruh Semenanjung,” katanya.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar ketika melihat jerat dawai yang dirampas dalam Ops Belang selepas sidang mengenai kejayaan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) menahan pemburu haram dan turut bersama Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Datuk Zurinah Pawanteh (dua dari kanan) Ketua Pengarah Jabatan perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim (kiri) dan Pegawai Penguankuasa Perhilitan, Hamidi Jamalidin (kanan) di Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Berita Harian X